comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pemandu kereta menyebabkan tiga maut di NKVE dibebaskan dengan jaminan polis

 

KUALA LUMPUR: Pemandu kereta yang menyebabkan tiga kematian dalam nahas di bawah jejambat di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dekat sini, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel berkaitan : Tiga maut dirempuh pemandu mabuk di NKVE 

Suspek berusia 26 tahun itu kini sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kemalangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pemandu terbabit mengalami patah bahu akibat kemalangan semalam.

Foto : NSTP

“Sebaik kita selesai rakam percakapannya petang semalam, dia dibebaskan dengan jaminan polis dan buat masa ini dia masih menerima rawatan di PPUM.

“Keputusan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif penggunaan dadah namun ujian alkohol mendapati tahap alkohol dalam badannya melebihi paras dibenarkan,” katanya.

Kata Mohamad Fakhrudin lagi kertas siasatan berhubung kemalangan ini akan dilengkapkan secepat mungkin.

Dalam kejadian semalam tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera, dengan seorang daripadanya parah selepas dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk yang terbabas ketika mereka berteduh dari hujan di bawah jejambat di Lebuhraya NKVE, awal pagi semalam.

Mohamad Fakhrudin berkata siasatan mendapati semasa kejadian, pemandu kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dalam perjalanan dari ibu negara ke Cyberjaya.

Setibanya di lokasi kemalangan, kereta terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar enam penunggang motosikal yang berada di situ.

Semua mangsa lelaki berusia antara 19 hingga 37 tahun dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Polis turut meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini