Oleh: Selwam Arjunan
BALING: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori treler di Lebuhraya Baling-Kulim, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.29 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi pada jam 7.54 pagi.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta perodua Myvi dan sebuah lori treler dagangan.
“Pemandu kereta telah tersepit dalam kenderaan dan anggota bomba menggunakan peralatan ‘power unit rescue’ untuk mengeluarkan mangsa.
“Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.