Tumpuan :
Nasional

Pemandu kereta dipercayai cuba memotong lalu masuk laluan bertentangan – Polis

Foto ihsan polis

KOTA TINGGI: Susulan kemalangan dua kenderaan di Kilometer (KM) 9.5 Jalan Sungai Sayong-Tenggara di sini, semalam, siasatan awal polis mendapati nahas berpunca dari kereta Nissan Sentra yang cuba memotong namun memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian menyebabkan kereta itu bertembung dengan van yang membawa anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Bandar Tenggara (Peyara).

Pihak polis katanya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 7.10 malam sebelum menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati sebuah Nissan Sentra dalam perjalanan dari arah Jalan Bandar Tenggara menuju ke arah Kota Tinggi cuba untuk memotong dan memasuki laluan bertentangan.

“Tindakan itu menyebabkan kereta itu berlanggar dengan sebuah van Kia Pregio dari arah hadapan.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu Nissan Sentra berusia 53 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu van berusia 41 tahun bersama penumpang seramai 12 orang berusia antara sembilan hingga 15 tahun pula dirujuk ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Van itu dipercayai bergerak dari Kota Tinggi ke Bandar Tenggara kerana difahamkan untuk menghadiri program sukan di Bandar Tenggara,” katanya.

Menurut Hussin, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau merbahaya dan menyebabkan kematian.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini