Tumpuan :
Nasional

Pemandu kereta cedera terlanggar tapir di LPT2

Kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan selepas merempuh seekor tapir di Kilometer 314 LPT2, dekat Kerteh hari ini. – FOTO: NSTP

CHUKAI: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang yang dipandunya merempuh seekor tapir di Kilometer 314, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Kerteh, pagi tadi.

Dalam kejadian, kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Produa Myvi cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Sebelum kejadian, seekor tapir seberat kira-kira 100 kilogram dikatakan melintas di situ untuk ke kawasan hutan simpan berhampiran.

Dalam masa sama, sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki pasangan suami isteri menuju ke arah Kuantan gagal mengelak dan merempuh tapir terbabit.

Rempuhan kuat itu menyebabkan tapir terbabit tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta Perodua Myvi terbabit sehingga kenderaan itu terbalik.

Pemandu dan penumpang kereta BMW bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

FOTO: NSTP

Bangkai tapir terbabit kemudiannya diambil anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kemaman untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar mengesahkan kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini