JOHOR BAHRU: Tindakan tegas akan dikenakan ke atas kenderaan bernombor pendaftaran asing yang didapati menggunakan plat Malaysia bagi mengisi petrol bersubsidi RON95.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Azmil Zainal Adnan, berkata kenderaan asing yang memasang nombor plat Malaysia boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mengikut seksyen ini, mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman termasuk denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau mengulas hantaran tular di media sosial yang mendakwa pemandu kereta Singapura menukar nombor plat kenderaannya kepada plat Malaysia sebelum mengisi petrol RON95 bersubsidi untuk rakyat Malaysia.
Azmil Zainal berkata, undang-undang Malaysia mewajibkan semua kenderaan bermotor memaparkan nombor pendaftaran dengan jelas di hadapan dan belakang kenderaan seperti ditetapkan JPJ.
“Kami akan meneruskan pemantauan dan risikan untuk mengenal pasti dan bertindak ke atas salah laku ini.
“Pemandu kenderaan Singapura diingatkan untuk mematuhi peraturan. JPJ akan menegakkan pematuhan dan meningkatkan piawaian keselamatan jalan raya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.