Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pemandu kenderaan berat ingkar larangan masuk lebuh raya

 

Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Arahan sudah dikeluarkan namun sebilangan pemandu kenderaan berat masih berdegil dan menggunakan laluan lebuh raya sebagai laluan alternatif mereka.

Hasil tinjauan di laluan lebuh raya menuju ke selatan tanah air dan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Sungai Buloh mendapati terdapat sebilangan pemandu kenderaan berat termasuk kenderaan barangan, berdegil dan masih menggunakan laluan lebuh raya.

 

Antara kenderaan berat dan kenderaan barangan yang dirakam ingkar arahan larangan masuk lebuh raya sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Tindakan itu bukan sahaja dilihat seperti mencabar arahan lalu lintas yang dikeluarkan, malah mengundang kesesakan trafik apatah lagi ketika orang ramai mula pulang ke kampung bagi menghabiskan cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Rata-rata pengguna jalan raya yang temui di RNR Sungai Buloh kecewa dan meminta pemandu kenderaan berat akur dengan arahan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang berkuatkuasa hari ini dan esok serta pada 24 dan 25 Januari (selepas perayaan) nanti.

Penjawat awam, Zamri Darus berkata dia kecewa kerana terdapat segelintir pemandu kenderaan berat yang tidak mengikut undang-undang trafik malah turut memandu secara bahaya.

“Setiap kali cuti sekolah, orang ramai akan gunakan peluang ini untuk pulang ke kampung atau pulang bercuti, hal ini akan membuatkan jalan raya sesak.

“Kalau kenderaan berat masih lagi guna lebuh raya ia akan memperlahankan lagi aliran trafik malah cara pemanduan berbahaya juga membuatkan pengguna jalan raya lain tidak rasa selamat ketika menggunakan laluan ini,” katanya.

Suri rumah, Nur Azah Abdul Aziz ketika ditemui berkata dia kecewa kerana masih ramai pemandu bersikap keras kepala dan tidak memikirkan keselamatan orang lain.

“Kerajaan dah keluarkan arahan, mereka seharusnya ikut, kalau berlaku perkara yang tidak diingini, hal demikian akan menyusahkan orang lain.

“Saya harap mereka bersabar buat sementara waktu ini dan berilah peluang kepada kami untuk guna lebuh raya dengan lebih selesa,” katanya yang menggunakan waktu cuti ini untuk bercuti ke Melaka bersama anak-anaknya.

Sebelum ini, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan arahan larangan pemanduan ke atas kenderaan berat dan kenderaan barangan kerana mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang pulang ke kampung.

Loading...
Terkini