
JOHOR BAHRU: Pemandu e-hailing yang juga warga emas kerugian lebih RM147,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berganda menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa iaitu lelaki berusia 65 tahun, pada Sabtu lalu, selepas dia menyedari ditipu apabila gagal mendapatkan semula wang pelaburan.
Beliau berkata, kejadian bermula pada 20 Oktober tahun lalu apabila mangsa melihat iklan pelaburan mata wang kripto di media sosial, Facebook.
“Mangsa tertarik dengan pulangan lumayan yang ditawarkan dan menekan pautan diberikan.
“Tertarik dengan janji keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, mangsa kemudian melakukan 10 transaksi ke lapan akaun bank berbeza dari 22 November 2024 hingga 6 Januari lalu, dengan jumlah keseluruhan RM147,604,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan pelaburan sebelum mangsa mula mengesyaki ditipu apabila wang pelaburan gagal dikeluarkan.
“Siasatan awal menerusi platform Semak Mule CCID mendapati tujuh daripada lapan akaun bank yang digunakan mempunyai 27 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan,” katanya.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.
“Pastikan anda menyemak kesahihan syarikat atau individu yang menawarkan pelaburan menerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan gunakan portal Semak Mule untuk menyemak akaun yang mencurigakan sebelum membuat transaksi,” jelasnya.
Katanya, orang ramai yang menjadi mangsa penipuan digesa segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi menyekat pengaliran keluar wang ke akaun suspek.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.