comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu dipercayai mabuk langgar polis trafik

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di kilometer 3.6 Jalan Pantai di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang berusia 30-an itu sedang mengawal lalu lintas selepas berlakunya satu kemalangan di lokasi terbabit.

“Semasa proses penundaan sedang dijalankan, tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Proton Wira dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota trafik yang sedang berdiri di sebelah kiri trak tunda.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira, kemudian mangsa telah melambung dan terjatuh di tengah jalan, ” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya mangsa mengalami patah tulang pinggul sebelah kiri, luka di muka dan dagu selain luka di bahagian tangan kanan.

Manakala, pemandu kereta Proton Wira terbabit yang berusia 30-an pula luka pada tangan kiri.

“Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dalam darah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapatinya negatif dadah,” ujarnya.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini