ALOR GAJAH: Seorang lelaki terselamat apabila van mayat dipandunya bergesel dengan sebuah lori lalu terbabas dan terbalik di Kilometer (KM) 199, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Utara.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi semalam, pemandu berusia 48 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Roslan Mohamed@Ab Aziz berkata, laporan kejadian diterima Unit Siasatan Lebuh raya (USLR) Siasat Selatan 1 (SS1) daripada Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS jam 8.27 pagi.
Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, SS1 menghala ke tempat kejadian dan mendapati memang berlaku kemalangan itu.
“Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila van jenis Toyota Hiace yang membawa satu mayat lelaki bergesel dengan sebuah lori yang tidak pasti di bahagian kanan.
“Akibatnya van itu hilang kawalan kerana hujan lebat dan jalan licin lalu terbabas dan terbalik di dalam longkong di kiri lebuh raya.
“Pemandu van terselamat dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan serta dirawat di Hospital Alor Gajah,” katanya dihubungi di sini.
Roslan berkata, difahamkan mangsa dalam perjalanan dari Johor untuk menghantar mayat itu ke Alor Setar, Kedah.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.