Tumpuan :
Nasional

Pemandu bot tambang, 2 penumpang didenda RM2,500 rentas sempadan secara haram

Tiga rakyat tempatan bersama tiga warga India didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memasuki Malaysia dari Thailand dengan menggunakan laluan tidak sah.- Foto: NSTP

PASIR MAS: Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memasuki negara ini dari Thailand menggunakan laluan tidak sah di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang, Isnin lalu.

Tertuduh, Mohd Karlili Mohd Hussin, 33, yang juga pemandu bot tambang bersama dua penumpangnya, Lim Teik Hooi, 21, dan Mohammad Azrol Azhar, 26, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memasuki Malaysia dari Thailand menggunakan laluan yang tidak dibenarkan.

Kesalahan itu dilakukan di tebing sungai dekat pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang jam 4 petang pada Isnin lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tiara Shahira Mohd Wira.

Terdahulu, Mahfuzah Hamizah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran untuk tidak mengulangi kesalahan sama dan menggunakan laluan yang sah selepas ini.

Tiara dalam rayuannya meminta hukuman denda paling minimum untuk ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM2,500 kepada setiap tertuduh dan penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Kes yang dihadapi ketiga-tiga lelaki itu adalah pertuduhan pertama bagi kesalahan merentas sempadan melalui Sungai Golok yang didakwa di mahkamah selepas polis menguatkuasakan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini