comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemandu bas muat naik video murid sekolah ditahan

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas yang memuat naik rakaman video penumpang bas yang dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’, ditahan di Simpang Renggam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, penahanan pemandu bas berusia 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi tadi.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.

“Semalam, Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan polis dan menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas dipandu seorang lelaki.

“Suspek memuat naik rakaman video ke akaun media sosial TikTok dengan hantaran berkenaan masih wujud dan boleh diakses.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar jelas kelihatan.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, Kumar berkata, pemandu bas itu kini disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membawa maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa sahaja cara secara berulang atau kerap.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik.

“Bagi kedua-kedua kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Kumar menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan awal selain pelakunya dikenakan tindakan undang-undang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini