KUALA NERANG: Seorang lelaki hilang manakala rakannya selamat apabila bot yang dinaiki ketika memancing terbalik di Empangan Tasik Pedu, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Mohd Aminudin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Faizal Che Mi tiba di lokasi bersama tujuh anggota tidak lama kemudian.
“Berdasarkan maklumat awal mangsa dipercayai melakukan aktiviti memancing bersama rakannya dan dipercayai terjatuh ke dalam tasik.
“Bagaimanapun seorang daripadanya selamat manakala seorang lagi masih hilang dan operasi pada malam ini hanya dilakukan di permukaan air sahaja.
“Berdasarkan situasi semasa, kemungkinan selaman tidak dapat dilakukan pada waktu malam kerana risiko cuaca gelap dan ketinggian aras laut diambil kira untuk melakukan selaman.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba sudah dimaklumkan berhubung kejadian ini dan operasi menyelamat menggunakan teknik selaman hanya akan dilakukan pagi esok untuk mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Aminudin berkata, bot yang dinaiki mereka masih berada di lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.