Tumpuan :
Nasional

Pemancing hilang ditemukan lemas di Sungai Batang Rajang

KUCHING: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas memancing di Sungai Batang Rajang, di Belaga, malam Sabtu lalu, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Awi Lahang, 56, ditemui terapung di tebing sungai oleh orang awam kira-kira 50 kilometer dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB) di jeti Uma Badeng, Long Dungan, Belaga.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu pada jam 3.10 petang.

“Sejurus menerima maklumat itu, anggota bomba bergegas ke lokasi penemuan, untuk mengambil mayat.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kehilangan mangsa disedari keluarganya selepas dia tidak balik ke rumah selepas keluar memancing ikan di hilir Sungai Batang Rajang, kira-kira jam 10 malam, Sabtu lalu.

Pada jam 7.55 malam, Ahad lalu, Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga menerima panggilan dari anggota Balai Polis Belaga berhubung kehilangan mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan dengan bantuan enam anggota polis, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dua anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta 35 penduduk kampung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini