Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menjelaskan pemakaian pelitup muka masih diperlukan bagi individu yang melawat ke fasiliti kesihatan kerana perlu berinteraksi atau berdepan dengan pesakit.
Dalam satu kenyataan, KKM menjelaskan ia adalah selari dengan amalan pencegahan dan kawalan infeksi.
Dalam pada itu, orang ramai memberikan pelbagai reaksi kepada SOP baharu mulai Rabu depan yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada pengguna pengangkutan awam kecuali penumpang kapal terbang.
Kelonggaran untuk tidak memakai pelitup muka di dalam pengangkutan awam mungkin dilihat sesuatu yang positif berikutan situasi semasa COVID-19 dalam negara yang beransur pulih.
Pelajar univerisiti, Mohd Hazim Mohd Yazid berkata, masyarakat kini sudah menganggap COVID-19 bukan lagi ancaman.
“Kalau ditengokkan trend sekarang pun, masyarakat pun dah anggap benda ni macam biasa, ramai tak pakai pelitup muka jadi bagi saya okay la sikit, dah longgar untuk tak wajib pakai pelitup muka”
Bagi Siti Azizah Mat, perkerja swasta, kewajiban memakai pelitup muka bergantung kepada seseorang individu itu.
“Dari segi kewajiban memakai pelitup muka, ikut pandangan saya, ia bergantung kepada individu, pada saya tak perlu pakai”
Namun, ada yang masih memilih untuk terus memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam.
Mat Khalid Hasran, pekerja swasta berkata, meskipun wabak Covid-19 hampir pulih, beliau tetap merasakan pemakaian pelitup muka perlu dikekalkan.
“Memang Covid ni dah orang kata beransur pulih, tapi untuk keselamatan juga la kan, saya rasa elok dikekalkan lah sampai betul-betul pulih 100% daripada yang ada sekarang ni”
Pandangan sama dilontarkan Zila Kamal, seorang kakitangan syarikat swasta apabila beranggapan menaiki pengangkutan awam adalah sangat berisiko terdedah dengan jangkitan penyakit.
“Saya merasakan perlu pakai pelitup muka di dalam pengangkutan awam kerana kadang-kadang ia penuh dengan penumpang lain dan kita tidak mengetahui penyakit apa yang mereka hidapi”
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Doktor Zainal Omar, meskipun kelonggaran diberi, beliau tetap berpandangan langkah-langkah pencegahan perlu menjadi keutamaan bagi menghindari dijangkiti penyakit.
“Masyarakat kena ingat bahawa COVID-19 ini masih ada bersama kita jangkitan masih berlaku dan boleh berlaku terutama dalam keadaan sekarang iaitu kita menyambut perayaan Aidiladha, kita berinteraksi dengan masyarakat dan sebagainya”
“Jadi sekiranya perlu kita pelitup muka, dan jika kita berada di lapangan di tempat yang sesak atau kita mempunyai tanda-tanda maka sangat eloklah kita melakukan amalan memakai pelitup muka,” katanya.