![](https://media.buletintv3.my/2024/01/wVOKAsva-BTV3-WORK-8.jpg)
KUALA LUMPUR: Bekas pemain keyboard kumpulan Kembara dan Ilusi, Md Shah Othman meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Allahyarham Md Shah menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun akibat komplikasi pelbagai penyakit susulan kanser kelenjar yang dihidapinya.
Allahyarham Md Shah meninggalkan balu, Harlina Abdullah, 69, tiga anak dan enam cucu.
Bekas vokalis kumpulan Ilusi, iaitu Ayai terkejut dengan pemergian rakan seperjuangannya itu.
“Kami memang sudah lama kenal. Bukan dengan arwah sahaja, malah, seluruh anggota keluarganya.
“Baru semalam saya mendapat tahu arwah menghidap kanser selepas dimaklumkan seorang teman.
“Saya kemudian hubungi arwah dan memintanya segera mendapatkan rawatan di hospital. Selepas itu, anaknya hubungi saya mengatakan arwah sudah dibawa ke hospital.
“Tiba-tiba, tengah hari tadi saya mendapat perkhabaran arwah sudah tiada. Rasa sangat terkejut kerana segala-galanya berlaku cepat sekali,” katanya.
Jenazah akan dimandi dan dikafankan sebelum dibawa ke Kampung Bendahara untuk disolatkan dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga selepas solat Asar.