comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemain Industri Sarung Tangan Hadapi Tekanan, Saingan Sengit

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR : Hartalega Holdings Berhad menggesa kerajaan merangka dasar mesra perniagaan yang dapat membantu pemain industri sarung tangan kekal kompetitif di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, landskap mencabar ketika ini dijangka berkekalan, dengan normalisasi harga jualan purata, selain persekitaran kos operasi lebih tinggi ditambah kenaikan inflasi dan pelaksanaan dasar gaji minimum baru-baru ini.

“Dari segi persaingan antara negara, saya rasa kerajaan Malaysia seharusnya menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi sektor sarung tangan untuk bersaing dengan negara lain. Justeru, yang dimaksudkan dasar mesra perniagaan yang sensitif terhadap kos menjalankan perniagaan seperti kos tenaga dan gaji.” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini, hari ini.

Selagi dasar kerajaan boleh terus menyokong industri ini, beliau yakin Malaysia mampu untuk terus menguasai pasaran sarung tangan global.

Ketika ini, Malaysia menguasai 51 peratus kapasiti sarung tangan global, manakala China menguasai sekitar 20 peratus.

Kesedaran kebersihan global dan penggunaan sarung tangan dijangka meningkat dalam era pasca pandemik, terutama di pasaran sedang pesat membangun dengan penggunaan per kapita yang masih rendah.

“Dengan latar belakang ini, kami akan terus menyesuaikan diri dengan dinamik bekalan dan permintaan pasaran dalam pada kami menggerakkan pelan pengembangan strategik yang akan disesuaikan sewajarnya selaras dengan persekitaran pasaran yang berubah,” katanya.

Mun Leong menambah pengembangan itu akan dipacu kompleks pembuatan sarung tangan generasi akan datang Hartalega yang akan disiapkan mengikut fasa, memberi penekanan bahawa kumpulan akan terus mempercepatkan usaha automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mengoptimumkan kos.

Menuju ke hadapan, beliau berkata Hartalega akan kekal berdaya tahan, meneruskan pendekatan tertumpu masa hadapan untuk melonjakkan kumpulan ke hadapan dan menghasilkan keputusan yang mampan.

Loading...
Terkini