Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seorang peluncur udara maut selepas terhempas pada cerun konkrit akibat diterbangkan angin di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, petang tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris dalam satu kenyataan berkata siasatan awal mendapati tiada unsur perbuatan khianat atau jenayah ke atas insiden terbabit.
Difahamkan, ketika kejadian lelaki berusia 26 tahun itu membawa seorang penumpang meluncur udara menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol, Manggatal dan berjaya mendarat dengan selamat.
Sebaik menurunkan penumpang, mangsa yang belum sempat menanggalkan tali payung luncur udara dibadannya tiba-tiba ditiup angin kuat menyebabkan mangsa terbang sebelum tubuhnya terhempas ke cerun konkrit.
Mangsa dilaporkan cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 5 petang.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.