Oleh: Fazli Ahmad
LIPIS: Seorang lelaki maut dihempap bungkahan batu dipercayai ketika melakukan aktiviti melombong emas secara haram di Kawasan Hutan Simpan Jelai, di Sungai Temau, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira jam empat petang ketika mangsa bersama dua rakan melombong emas berhampiran Sungai Kadir di kawasan hutan simpan itu.
Katanya, siasatan awal mendapati bungkahan batu di lereng tebing berhampiran kawasan lelaki terbabit melombong dipercayai terjatuh dan menghempap mangsa.
Ekoran kejadian itu, dua rakannya bergegas keluar dari kawasan hutan simpan berkenaan untuk mendapatkan bantuan bagi mengeluarkan mangsa.
Sepasukan anggota polis dari Balai Merapoh bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat laporan kira-kira jam 4:30 petang tadi.
“Sebaik tiba di lokasi dan hasil pemantauan mendapati bungkahan batu itu menghempap sebahagian badan mangsa,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Mangsa 44 tahun berasal dari Felcra Sungai Temau, Lipis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua rakan mangsa sudah dipanggil polis untuk diambil keterangan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.