Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan tidak lagi diwajibkan, sebaliknya ia adalah pilihan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata perkara itu akan berkuat kuasa serta merta bermula hari ini.
“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan (indoor) kini adalah atas pilihan (optional).
“Walau bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada
pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka. Selain itu orang ramai AMAT DIGALAKKAN memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini, hari ini.
Bermula 1 Mei lalu, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka apabila ia tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka, namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuklah e-hailing.
Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka sebelum ini adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).