comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelihara tiga beradik beragama Islam, Uncle Mike terima Anugerah Maulidur Rasul

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike yang tular kerana kesudiannya menjaga tiga anak angkat lelaki Melayu beragama Islam yang juga yatim piatu menerima Anugerah Maulidur Rasul, hari ini.

Uncle Mike, 55, menyifatkan anugerah diterima memberinya lebih motivasi dan inspirasi untuk meneruskan kerja kebajikan serta membantu ramai orang.

“Rasa terharu, tak pernah menyangka dapat anugerah ini sebab saya dalam keluarga biasa sahaja. Selama 16 tahun saya tak bercerita dengan sesiapa pun sebenarnya (kisahnya menjaga tiga anak Melayu yatim piatu beragama Islam) sehinggalah ia disiarkan Harian Metro.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Anugerah Maulidur Rasul kepada Michael Tong Wai Siong sambil diperhatikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1446h/2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. – FOTO: NSTP

“Tak tahu nak cakap apa. Penghargaan yang kerajaan Malaysia bagi ini saya rasa sebenarnya memberi motivasi dan inspirasi bagi saya meneruskan kebajikan untuk tolong lagi ramai orang,” katanya.

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 peringkat kebangsaan di sini.

Kisah Uncle Mike mendapat perhatian apabila tidak kekok menjaga Rafei Ahmad Fauzi, 29, dan dua lagi adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, malah menyayangi mereka seperti anak sendiri biarpun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini.

Michael berkata, pada mulanya dia hanya mengambil Rafei tinggal bersamanya yang pertama kali ditemui ketika berusia 12 tahun di rumah anak yatim di Gombak, Selangor kerana mahu membantunya mendapat kehidupan lebih baik.

Bagaimanapun, Michael kemudiannya mengambil dua lagi adik Rafei selepas menemui nota luahan anak angkatnya itu yang mempersoal pemergian ibu bapanya dan kenapa dia dipisahkan dengan adik-beradik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini