Tumpuan :
Nasional

Pelesenan media sosial, X dan Google masih dalam rundingan

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Empat daripada enam platform media sosial yang disasarkan untuk pendaftaran dalam proses perlesenan media sosial berjaya diselesaikan, termasuk TikTok, WeChat, Facebook, Instagram, WhatsApp, dan Telegram.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan proses pendaftaran bagi platform-platform tersebut berjalan lancar tanpa sebarang isu.

Bagaimanapun, proses pendaftaran untuk platform X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) dan Google masih belum selesai.

Fahmi menjelaskan perkara itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Pendaftaran X akan mengambil sedikit masa. Saya telah meminta pihak MCMC untuk berbincang dan menguruskan proses tersebut,” katanya.

Berkenaan Google, Fahmi menyatakan bahawa pihak MCMC sedang melanjutkan sesi libat urus dengan syarikat itu. Beliau turut menekankan tindakan tegas terhadap pelanggaran undang-undang seperti kandungan video scam dan judi dalam talian di YouTube.

“Tindakan tetap boleh diambil terhadap ketidakpatuhan atau pelanggaran undang-undang dalam negara kita, termasuk video yang melanggar peraturan seperti iklan judi dalam talian,” tambahnya.

Dalam pada itu, Fahmi berharap proses pelesenan terbabit dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan platform media sosial akan lebih proaktif dalam memantau serta menurunkan kandungan yang melanggar peraturan secara autonomi.

Langkah itu katanya, selaras dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat demi menjaga kepentingan pengguna media sosial di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini