comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelepasan efluen berbuih cemari Sungai Kampung Rinching

KUALA LUMPUR: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran air berwarna putih berbuih serta berbau seakan-akan rebusan cendawan di sekitar kawasan Sungai Kampung Rinching, Kajang semalam.

EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata, pemeriksaan segera dilakukan sebaik maklumat pencemaran itu diterima Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada jam 11 pagi semalam.

“Pemerhatian awal mendapati keadaan air adalah berbuih dan berwarna putih serta berbau di Jambatan Rinching Tengah, Sungai Rinching.

“Pensampelan in-situ yang dilaksanakan oleh LUAS di jambatan Tok Tahir di kawasan berdekatan bagi beberapa parameter antaranya Chemical Oxygen Demand (COD), Biochemical Oxygen Demand (BOD), Surfactant (Sur) dan Nitrate Oxide (No3) menunjukkan bacaan parameter bagi COD dan BOD adalah tinggi, manakala bacaan bagi Surfactant (Sur) dan Nitrate Oxide (No3) adalah rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan lanjut oleh LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) kemudian ke kawasan perindustrian di Bandar Tasik Kesuma.

“Semakan LUAS mendapati terdapat sebuah premis pemprosesan makanan disyaki telah melepaskan efluen berbuih dari titik pelepasan akhir ke dalam longkang berhampiran berdasarkan kesan buih berwarna putih yang dijumpai di ‘sump’ luar kawasan premis terbabit dan berbau seakan-akan rebusan cendawan.

“LUAS telah segera mengarahkan premis berkenaan untuk menghentikan sebarang aktiviti yang menggunakan air dan pelepasan efluen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan air sungai kembali normal setelah aktiviti dan efluen berkenaan dihentikan.

Beliau berkata, anggaran jarak lokasi punca pencemaran ke loji rawatan air (LRA) terhampir, LRA semenyih adalah 15 kilometer (km), namun tiada henti tugas LRA dilaporkan.

Tambahnya, LUAS telah melakukan kaedah pensampelan di titik akhir pelepasan di dalam dan luar premis berkenaan dan kesemua sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM 1 juta serta mandatori penjara tidak kurang tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Loading...
Terkini