SHAH ALAM: Sebuah premis di kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan disyaki menjadi punca menyebabkan bau abnormal di Sungai Buah dan Sungai Semenyih, malam tadi.
Ia selepas siasatan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA N9).
Sebelum itu, penemuan sama turut dikesan di kawasan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Nilai iaitu tepi kawasan lebuh raya.
LUAS berkata, aliran bau abnormal itu daripada premis terbabit berdasarkan penemuan dan semakan bau yang sama di pelepasan akhir premis ke longkang.
“BKSA N9 sudah mengarahkan premis berkenaan untuk menghentikan aliran pelepasan.
“LUAS membantu kawalan di premis dengan meletakkan ‘activated carbon’ (AC) untuk menyah bau di titik pelepasan akhir premis,” jelas LUAS dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.