Oleh: Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Dengan tekad dan keberanian memburu impian, pelayar muda berusia 12 tahun, Muhammad Zahir Naiman Ismail memulakan misi pelayaran solonya dari Kuala Perlis ke Langkawi, hari ini.
Muhammad Zahir atau lebih disenangi dengan panggilan Mat X, berlepas pada 8.30 pagi tadi dari Jeti Kastam Diraja Malaysia Kuala Perlis.
Katanya, misi sejauh 21 batu nautika itu dijangka mengambil masa kira-kira 8 jam.
“Saya yakin saya sudah bersedia menempuh cabaran dan angin kuat di laut.
“Apa yang diharapkan kini, saya dapat menamatkan misi pertama ini dengan selamat dan INSYALLAH impian seterusnya adalah berlayar dengan jarak yang lebih jauh,” katanya kepada Buletin TV3, sebelum memulakan pelayarannya.
Pelepasannya dilakukan Presiden Persatuan Perahu Layar Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Anuar Abidin.
Ibunya, Nazila Rahim berkata, anak ketiga dari lima beradik itu menjadikan pelayar negara, Datuk Azhar Mansor sebagai idolanya dalam sukan pelayaran itu.
“Hasratnya dinyatakan kepada saya dan suami sejak usianya 8 tahun.
Sejak dari itu, dia bersungguh-sungguh menjalani latihan dan menjaga makan untuk merealisasikan impiannya.
“Dia juga pernah berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan bercakap mengenai hasratnya itu. Seingat saya, sejak 2020 sudah tiga kali dia berjumpa tapi apa kata-kata semangat yang diberikan Tun Mahathir kepadanya dirahsiakan sehingga kini,” katanya.
Sepanjang misi itu, Muhammad Zahir didampingi bot pengiring dari pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi dan beberapa buah bot dari Persatuan Perahu Layar Kedah.