Oleh: Shuhadah Marzuki
KUALA LUMPUR: Pelarasan gaji penjawat awam sebanyak sebanyak 15 hingga 42 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi memberi suntikan motivasi untuk penjawat awam terus memberikan khidmat yang lebih cemerlang.
Selain itu, melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), daya saing, produktiviti serta kecekapan penjawat awam boleh dipertingkatkan.
Komitmen kerajaan itu disambut baik oleh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia, (PDRM), Bukit Aman.
Inspektor Muhd Adil Ja’afar melihat pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu bukan sahaja satu berita gembira malah isyarat kepada mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kenaikan gaji penjawat awam juga dihitung dari segi prestasi. Ia adalah langkah yang adil kerana setiap kenaikan atau pelarasan gaji yang dibuat harus setimpal dengan kecemerlangan dalam melakukan tugasan,” katanya kepada Buletin TV3.
Bagi Inspektor Mohammad Ehsan Zolkifly pengumuman itu satu suntikan semangat untuk warga PDRM.
“Syukur Alhamdulillah. Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman terbabit kerana ia menyuntik moral untuk berkhidmat dengan lebih semangat dan berdedikasi, ” jelasnya.
Koperal Phang Wee Lee pula ketika ditemui berkata selain membantu isu kos sara hidup, pelarasan gaji penjawat awam mampu meningkatkan prestasi kerja setiap penjawat awam.
“Kenaikan gaji penjawat awam ini sebenarnya memberi impak dari segi ketekunan, dedikasi, semangat untuk penjawat awam menjalankan setiap tanggungjawab, ” ujarnya.
Mereka ditemui selepas mendengar amanat Perdana Menteri secara langsung di televisyen bersama-sama anggota lain di Bukit Aman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.