Tumpuan :
Nasional

Pelarasan gaji penjawat awam beri momentum swasta ikut langkah kerajaan – Abdul Rahman

Foto hiasan

GUA MUSANG: Pelarasan gaji penjawat awam diumumkan semalam selari dengan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkukuh dan melaksanakan mereformasi pasaran buruh swasta untuk meningkatkan gaji pekerja secara progresif seiring produktiviti negara.

Kenaikan gaji penjawat awam akan menjadi pelengkap Dasar Gaji Progresif Negara dan dasar gaji sedia ada, iaitu Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah Dikaitkan Dengan Produktiviti atau Productivity Linked-Wage System (PLWS).

Menjelaskan demikian, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia akan meningkatkan lagi produktiviti negara dalam usaha mencapai julat pendapatan rakyat Malaysia yang lebih seimbang.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kiri) bersama penduduk penduduk Kampung Jeram Tekoh di Gua Musang, semalam. – FB ABDUL RAHMAN MOHAMAD

“Saya percaya dengan pelarasan gaji penjawat awam, ia akan memberikan momentum kepada pihak swasta untuk mengikuti saranan kerajaan.

“Usaha ini selari dengan maklum balas yang diterima semasa libat urus dengan lebih 1,000 majikan dari pelbagai sektor sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jeram Tekoh, di sini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa, iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini