KUALA LUMPUR : Penyampai suara latar iklan dan pengacara popular era 1970-an dan 1980-an, Ramly Abu Bakar, meninggal dunia pada usia 78 tahun, awal pagi tadi.
Berita sedih itu dikongsi selebriti, Darling Ngasri di Facebook (FB), hari ini, selepas berita pemergian Ramly dimaklumkan anak sulung Allahyarham Ramly.
“Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi tadi di rumah anaknya, di Kundang, Rawang.
“Jenazah akan dimandi dan dikafankan di Masjid Nurul Yakin, Kampung Permata Kundang sebelum disolatkan selepas solat Zohor,” menurut hantarannya di FB.
Bagaimanapun, punca kematian penyampai berita televisyen (TV) veteran itu tidak dinyatakan.
Allahyarham Ramly pernah bertugas sebagai penyampai berita RTM pada awal 1970-an. Dengan keunikan suaranya, arwah terkenal sebagai ‘suara emas’ kerana meminjamkan suara sebagai suara latar dalam pelbagai iklan radio dan TV.
Antara iklan yang hingga kini masih segar dalam ingatan peminatnya adalah iklan produk tembakau Dunhill, selain suaranya digunakan dalam mempromosikan rancangan TV.
Ramly juga pernah berlakon bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem berjudul Gagak Hitam sebagai watak pembaca berita, selain membintangi filem Menanti Hari Esok arahan dan lakonan, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin pada 1977. – BERNAMA