PETALING JAYA: Proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan, BBP selepas ini akan diperkukuhkan menerusi semakan keutuhan beberapa badan penguat kuasa.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan ia termasuk semakan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, SPRM; Jabatan Insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia, PDRM.
Perkara itu merupakan antara garis panduan baharu bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998, yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional, JKKTN yang bersidang hari ini.
Garis panduan berkenaan yang menyaksikan pembaharuan berhubung pengukuhan tatakelola juga antara lain memberi penekanan kepada program pembangunan kapasiti Ahli Lembaga Pengarah BBP.
Antara lain memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tatakelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun, SBSys bagi tujuan pelaporan berkala kepada Perdana Menteri.
“Badan berkanun merupakan satu daripada cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tatakelola yang baik. Sumbangan badan berkanun sebagai badan awam bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi ia juga menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi oleh agensi pusat serta jabatan-jabatan kerajaan yang lain,” menurut Pejabat Perdana Menteri.
Mesyuarat JKKTN berkenaan membincangkan langkah pemantapan tatakelola BBP melalui pengukuhan pelaksanaan peraturan dan prosedur pengurusan BBP.
Garis panduan lain yang ditetapkan termasuk memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan penglibatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, ICU JPM khususnya kepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun, RMLT.
Garis Panduan berkenaan juga mengandungi usaha memperkasa peranan audit dalaman secara menyeluruh di peringkat BBP termasuk syarikat dan perbadanan BBP.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan garis panduan ini bagi mendukung agenda MADANI melalui pemerkasaan BBP, yang merupakan satu cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tatakelola baik.
Selaras dengan prinsip ketelusan, kenyataan itu juga menyatakan JKKTN turut membincangkan mengenai format baharu pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen untuk dikuatkuasakan semula dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan itu, kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda tatakelola baik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – BERNAMA