Tumpuan :
Nasional

Pelantikan MK Ibrahim sebagai Yang Dipertua DUN lenyapkan isu berbangkit – MB

Aminuddin (kanan) mengenakan jubah kepada Ibrahim di Seremban, hari ini. – Foto Pejabat MB

SEREMBAN: Pelantikan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat melenyapkan pelbagai isu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada lagi isu berbangkit terutama dari kalangan ahli AMANAH.

“Saya rasa tidak ada isu kerana pelantikan ini juga melalui AMANAH pusat yang menghantar nama pada saya.

“Pelantikan beliau juga mendapat sokongan penuh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya selepas majlis angkat sumpah ADUN dan Persidangan Pertama (Khas) Penggal Ke-15 di sini, hari ini.

Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, pimpinan pemuda AMANAH Negeri Sembilan tidak berpuas hati selepas hasrat parti itu untuk bertanding tiga kerusi DUN pada PRN tidak dipenuhi.

Ini susulan kerusi DUN Lenggeng yang dulunya dimenangi AMANAH diserahkan kepada BN-UMNO.

Persidangan Pertama DUN Ke-15 akan dilangsungkan selama empat hari bermula 9 Oktober ini.

Pada PRN yang berlangsung 12 Ogos lalu, gabungan parti PH dan BN memenangi sebanyak 31 kerusi daripada 36 DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memenangi lima kerusi.

MK Ibrahim pula memaklumkan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ADUN Chennah, Anthony Loke tidak hadir hari ini.

Loading...
Terkini