comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelantikan Azalina jadi Presiden IACA bukti komitmen Malaysia perangi rasuah diiktiraf

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (Kiri) / Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (Kanan)

KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Presiden Assembly of Parties (AoP) Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) membuka peluang kepada Malaysia menyumbang lebih besar kepada penggubalan dasar antirasuah di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pelantikan berprestij itu yang pertama buat negara, dilihat sebagai bukti pengaruh dan komitmen Malaysia semakin meningkat dalam memerangi rasuah.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Azalina, kedudukan Malaysia dalam memajukan inisiatif antirasuah global akan meningkat dengan ketara.

“Pelantikan beliau mencerminkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi dalam memerangi rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu lalu, Azalina dilantik sebagai Presiden Sesi Ke-13 AoP IACA pada Perhimpunan AoP di Vienna, Austria.

Azalina akan memimpin Biro AoP dan keanggotaan IACA membabitkan 77 negara serta empat pertubuhan antarabangsa dalam pembentukan dasar dan strategi IACA untuk memperkukuh peranan akademi berkenaan dalam bidang pendidikan dan latihan antirasuah profesional.

Sejak sesi pertama AoP IACA yang berlangsung pada 2012, Malaysia hanya pernah dipilih sebagai naib presiden dalam empat sesi mesyuarat iaitu pada 2014, 2015, 2019 dan 2023.

Dalam kenyataan itu, Azam turut mengumumkan pelantikan semula beliau sebagai anggota Board of Governors (BoG) IACA bagi sesi 2024-2027.

Beliau berkata, peranannya dalam BoG akan memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam menetapkan hala tuju IACA dan memastikan agenda pencegahan rasuah yang lebih berkesan dapat dicapai.

“Pelantikan semula ini adalah bukti pengiktirafan kepakaran dan dedikasi Malaysia terhadap usaha pencegahan rasuah,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU), Prof Datuk Dr Kassim Noor Mohamed dalam kenyataan sama menyifatkan pelantikan Azalina sebagai satu pencapaian penting buat negara.

Beliau berkata, pengiktirafan global ini sudah lama dinantikan dan melambangkan satu langkah positif bagi Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, pelantikan Azalina dan Azam adalah penting untuk mempercepatkan usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

“Kita seharusnya berbangga dengan pelantikan ini kerana ia mengakui dan mengiktiraf keseriusan kerajaan dalam memerangi rasuah.

“Namun perjuangan memerangi rasuah mempunyai perjalanan sangat panjang, masih banyak perlu dilakukan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya, sambil menekankan perlunya tindakan berterusan daripada kerajaan dan komitmen teguh daripada SPRM.

Beliau berkata, peranan kepimpinan dijangka meningkatkan pengaruh Malaysia dalam perbincangan antirasuah global dan mengukuhkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai pusat latihan utama di rantau Asia Pasifik. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini