JOHOR BAHRU: Bukan sahaja tidak mahu membayar upah perkhidmatan membaiki kereta, dengan melarikan kenderaan jenis BMW yang telah siap diselenggara.
Malah pemilik bengkel kereta bersama dua pekerjanya cedera dalam cubaan menghalang kereta milik pelanggan diambil tanpa sebarang bayaran, dalam satu kejadian di sebuah bengkel kereta di kawasan Taman Setia Tropika di sini.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian pada jam 8.54 malam, semalam daripada pemilik bengkel, lelaki tempatan berumur 29 tahun.
“Mangsa memaklumkan pada 7 September lalu kira-kira jam 12 tengahari, pelanggan lelaki tempatan berumur 40 an telah datang ke bengkel mangsa untuk membaiki kerosakan kereta yang dianggarkan bernilai RM38,000.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada semalam, sekitar jam 8 malam yang mana pelanggan sama telah datang semula ke bengkel kereta tersebut bersama seorang rakannya berumur 40 tahun, dan berpura-pura mahu pandu uji keretanya.
“Mangsa telah mengarahkan pekerja pertamanya, lelaki tempatan berumur 23 tahun untuk mengikut suspek kerana bimbang pelanggan melarikan diri tanpa membuat sebarang pembayaran.
“Semasa ujian pemanduan dibuat di kawasan Taman Bukit Kempas, suspek menyuruh pekerja terbabit memerika bonet belakang kereta kerana terdengar bunyi bising.
“Apabila pekerja terbabit membuka pintu, rakan suspek menyembur pemedih mata dan terus melarikan kereta tersebut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Balveer Singh, mangsa cuba menahan kereta dipandu suspek yang melintasi kedainya dengan berpaut pada cermin sisi kereta di lampu isyarat tetapi cuba dilanggar oleh suspek.
Katanya kemudian seorang lagi pekerja bengkel berumur 29 tahun cuba mengejar kereta suspek, dengan menaiki motosikal tetapi dihimpit sehingga jatuh.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada siku kanan, manakala pekerja pertama mengalami pedih dibahagian mata akibat disembur dengan pemedih mata.
“Pekerja kedua yang menaiki motosikal pula mengalami patah tangan kanan, luka di lutut dan melecur di pergelangan tangan kiri.
“Akibat kejadian itu, mangsa mendakwa kerugian anggaran RM43,000. Pihak Polis giat mengesan suspek-suspek yang terlibat. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Nazarul Izwan Abdul Manaf ditalian 019-3811817,”katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 307 kanun keseksaan kerana cubaan untuk membunuh serta Seksyen 324 kanun keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau bend berbahaya.
Kes turut disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.