Tumpuan :
Nasional

Pelancong warga emas China hilang di Suria KLCC

Xu Baolin kali terakhir dilihat di medan selera di tingkat dua Suria KLCC, Ahad lalu. – Foto POLIS

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga China dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di medan selera di Suria KLCC, di sini, Ahad lalu.

Laporan kehilangan Xu Baolin, 84, yang berketinggian kira-kira 159 sentimeter, diterima polis jam 11.42 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata lelaki itu kali terakhir dilihat di medan selera di tingkat dua kompleks beli-belah berkenaan.

“Lelaki itu datang melancong ke Malaysia bersama keluarga dan ketika mengunjungi KLCC, dia ke medan selera bersama empat ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, lelaki itu tinggal di sebuah kediaman di Jalan Kia Peng dan sepatutnya pulang ke China pada 17 Disember.

“Lelaki itu tiada penyakit alzheimer, namun ada masalah pendengaran,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan lelaki itu diminta tampil ke balai polis berhampiran.

Orang ramai juga boleh menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-26002264 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini