PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini memutuskan syarikat penerbangan yang akan mengurus proses penghantaran pulang pengembara yang ditolak masuk (NTL) ke negara ini tanpa membabitkan pihak ketiga.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat Kabinet minggu ini.
Jabatan Imigresen jelasnya boleh mengeluarkan notis NTL kepada pelawat asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.
Katanya pelawat asing yang dikenakan tindakan NTL akan ditempatkan di sebuah bilik yang mempunyai kelengkapan tempat duduk di lapangan terbang, sebelum penghantaran pulang ke negara asal dilakukan.
Disebabkan terlalu banyak syarikat penerbangan di KLIA, Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan mengambil inisiatif melantik sebuah syarikat swasta bagi menguruskan pelawat NTL terbabit.
Syarikat swasta itu akan bertanggungjawab menguruskan kebajikan pelawat NTL seperti menyediakan makan dan minum sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal tetapi tidak termasuk menguruskan tiket pulang.
Atas inisiatif kakitangan syarikat menguruskan NTL, jelasnya mereka akan menawarkan pembelian tiket pulang kepada pelawat asing itu, namun ia sering disalah erti dan beranggapan imigresen yang mahu menerima wang rasuah.
Sebagai rekod, pelancong yang tiba ke negara ini diberikan NTL atas pelbagai sebab termasuk faktor ketulenan pasport, isu visa, rekod jenayah dan kebimbangan mengenai isu keselamatan.
Sebelum ini, media melaporkan berlaku kekecohan di KLIA susulan penolakan kemasukan pelawat wanita dari China dikenali sebagai Wang Xu yang dilakukan mengikut prosedur dan selaras Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 09 Tahun 2017.
Memetik laporan sebuah portal, ketika soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang dan gagal menyatakan dengan jelas tempat penginapannya sepanjang berada di Malaysia.
Pada 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.