Oleh Safwan Sawi
SEMPORNA: Kes seorang pelancong yang menembak ikan menggunakan senapang panah dipercayai membabitkan sebuah pusat menyelam di sini baru-baru ini sedang dikesan dan akan diambil tindakan.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata aktiviti seumpama itu yang membabitkan kawasan dasar laut atau sungai adalah menyalahi undang-undang di negara ini.
Jelasnya penggunaannya dilarang kerana tiada lesen dikeluarkan pihak berkuasa sebagai kebenaran menggunakan senjata itu.
“Senapang panah ialah peralatan yang menyalahi undang-undang dan ia dilarang digunakan di mana-mana. Kita tidak mengeluarkan lesen untuk menangkap ikan menggunakan senapang panah.
“Jika digunakan, ia dianggap menyalahi undang-undang, penangkapan ikan yang tidak dilaporkan dan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tular video perbuatan menembak ikan menggunakan senapang panah dimuat naik di media sosial dipercayai membabitkan sebuah pusat menyelam di Semporna.
Dalam video itu, lelaki yang memegang senapang panah terbabit turut dilihat menyentuh seekor penyu hijau yang disenaraikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya di bawah pindaan Enakmen Konservasi Hidupan Liar.
Azhar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kes itu dan akan memberi kesedaran mengenai larangan penggunaan peralatan berkenaan khususnya kepada operator pelancong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.