GEORGE TOWN: Pelancong warga Amerika Syarikat (AS) yang cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney di sini semalam, kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata mangsa berusia 25 tahun itu sudah dipindahkan dari wad kecemasan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Katanya, mangsa tiba di Pulau Pinang untuk bercuti bersama keluarganya sejak 1 Februari lalu.
“Berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga, dia menghadapi masalah dengan kekasihnya dan mereka dijadualkan pulang pada 12 Februari ini.
“Buat masa ini, polis belum merakam keterangan individu itu kerana masih dirawat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Polis sebelum itu mengesahkan seorang lelaki cedera selepas terjatuh dari tingkat tujuh pusat beli-belah berkenaan dalam kejadian sekitar 1.55 tengah hari.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai mengalami kecederaan di kepala akibat insiden berkenaan dan lelaki itu dihantar ambulans ke HPP dalam keadaan separuh sedar kira-kira jam 2.20 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.