KOTA KINABALU: Kegembiraan sekumpulan pelancong China yang melakukan aktiviti menyelam di Pulau Memutik, Pulau Gaya, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa berusia 25 tahun bersama tujuh individu termasuk jurulatih selam sedang menyelam di sekitar pantai pulau berkenaan.
Sebaik selesai menyelam, mereka kembali ke pantai namun mangsa dilaporkan masih belum kembali ke pantai.
Selepas itu, dua kakitangan di pulau berkenaan menemui mangsa dan membawa mangsa ke pantai dan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 4.10 petang.
“Siasatan pegawai penyiasat kes ini mendapati tiada unsur jenayah kerana mangsa dipercayai mati lemas ketika aktiviti menyelam.
“Bedah siasat oleh HQEI akan dibuat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.