PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing digesa untuk sekali lagi ‘menyerbu’ Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kali ini, untuk meninjau perkhidmatan buruk yang dialami pengunjung di pintu masuk negara.
Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang baru pulang ke tanah air selepas mengerjakan ibadat Haji di Makkah mendakwa, imej negara sebagai negara maju terpadam apabila melihat pelancong bersesak ibarat sardin dalam bas perantara disediakan.
”Apa jadi MOT? Shuttle train dari bangunan utama ke terminal pelepasan antarabangsa rosak lagi. Sudah banyak kali rosak. Ini dikatakan.
“First class facility” tetapi “Low class maintenance’”. Baik pulih amat lambat. Masa saya ke Jeddah 17 Jun lalu train ini sudah rosak. Bila saya balik sebulan kemudian, ia masih rosak lagi. KLIA adalah pintu masuk pelancong luar negara. Imej negara maju padam bila pelancong bersesak macam sardin naik bas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bas perantara itu disediakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan penggantungan perkhidmatan Aerotrain di KLIA yang kini dalam proses penggantian.
Tren pertama dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.
”MAB pun satu hal. Penumpang dan pelancong disumbat sampai berdiri dalam bas dengan hand luggage mereka. Kesian warga emas. Apakah ini Malaysia’s Hospitality?
“Mana Tiong King Sing, dia menteri pelancongan. Tidak mahu serbu KLIA kali kedua? Hari itu dia sibuk pasal wanita warga China. Ini melibatkan ribuan pelancong setiap hari. Kenapa diam?” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu.
Puad turut memuat naik beberapa keping gambar situasi “menyambut” pelancong di KLIA termasuk keadaan dalam bas perantara.
Beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook untuk meninjau keadaan di KLIA itu.