KUALA LUMPUR: “Perdana Menteri ambil kisah,” kata Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan mengenai mesyuarat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama wakil rakyat daripada komuniti India di Parlimen, hari ini.
Jelas beliau, pada perbincangan itu, wakil rakyat membangkitkan pelbagai isu antaranya kos sara hidup, taraf hidup, pekerjaan dan isu berkaitan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
“Ramai beri pandangan mereka dan Perdana Menteri dengar pandangan tersebut,” katanya kepada pemberita.
Turut dibangkitkan mengenai Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) yang diperkenalkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 2017 untuk perhatian Anwar.
Pelan itu merupakan dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan masyarakat India bagi tempoh 10 tahun akan datang, terutama golongan isu rumah berpendapatan rendah.
Anwar katanya turut membentangkan kepada wakil rakyat maklumat daripada penyelidikan beliau.
“Beliau beri maklumat agak terperinci dan apa keinginan beliau daripada pemimpin masyarakat India,” kata Ramanan.