comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelan Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera lahir penjawat awam sihat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ANMS, di sini hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) hari ini meluluskan Pelan Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) yang akan dilaksanakan menerusi fasa rintis mulai tahun ini hingga 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelan itu bagi menjayakan hasrat kerajaan melahirkan penjawat awam yang mempunyai status kesihatan yang baik supaya mereka dapat berfungsi dengan produktif dalam membangunkan negara.

Menurutnya, Pelan Strategik PSS menggariskan lima strategi, 16 inisiatif dan beberapa sasaran yang perlu dicapai menjelang 2030.

“Ia bermatlamat menurunkan prevalen faktor risiko kesihatan dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya melalui pelaksanaan polisi berkaitan pembudayaan hidup sihat dan persekitaran yang menyokong kesihatan di samping meningkatkan literasi kesihatan serta amalan budaya hidup sihat di tempat kerja,” ,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ANMS, di sini hari ini.

Jelasnya, strategi yang digunakan dalam melaksanakan PSS adalah menerusi pengukuhan literasi kesihatan penjawat awam dan persekitaran yang menyokong kesihatan serta pemantapan intervensi kesihatan pembudayaan hidup sihat.

Strategi lain adalah pengukuhan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan, pemerkasaan nilai ‘ownership’ dalam kesejahteraan kesihatan melalui pengiktirafan kepada rakan strategik dan peluasan perkhidmatan Wellness on Wheel (WOW) melalui 19 kenderaan akan digerak bersama Ahli Parlimen untuk perkhidmatan aktiviti WOW bermula tahun depan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beberapa fokus keberhasilan budaya hidup sihat PSS turut diperkenalkan seperti gaya hidup aktif, amalan pemakanan sihat, pemakanan selamat dan saringan kesihatan.

Ujarnya, tinjauan untuk mendapatkan data asas diadakan pada tahun ini dan seterusnya tinjauan keberkesanan fasa rintis diadakan pada penghujung tahun depan.

“Kejayaan pelaksanaan inisiatif PSS akan diukur melalui kajian dan tinjauan yang akan dilaksanakan seperti Tinjauan Literasi Kesihatan Malaysia 2028, Indeks Cara Hidup Sihat Malaysia 2028, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2028 serta Kajian Pasca Keberkesanan PSS 2030,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, berkonsepkan pendekatan keseluruhan negara (whole of nation), kejayaan inisiatif PSS bergantung kepada pemerkasaan penjawat awam dan komitmen rakan strategik dalam ANMS iaitu penglibatan semua kementerian, jabatan serta agensi.

Tambahnya, isu kesejahteraan kesihatan perlu dilihat merentas sektor kementerian atau agensi dan tema kesihatan perlu berada dalam semua polisi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini