Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pelan mitigasi dilaksana, halang pergerakan tanah baharu

 

Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Pelan mitigasi dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya pergerakan tanah baharu di kawasan runtuhan cerun di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini.

Ia dilakukan dengan kerjasama  IPD Sentul, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pelan mitigasi itu dimulakan dengan menutup kawasan tanah runtuh dengan kanvas yang difahamkan telah dilakukan  jam 3:30 petang tadi sehingga esok.

Pemasangan kanvas bertujuan menghalang aliran air meresap ke dalam tanah.

Seterusnya, adalah pemasangan cerucuk besi di sekitar kawasan kejadian  yang akan dilakukan, 28 April ini.

Ujar Beh, pemasangan cerucuk besi akan melibatkan dua fasa dengan fasa pertama pemasangan  adalah di sempadan pagar bangunan terlibat dan dijangka mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

Sejurus siap pemasangan bagi fasa pertama, JKR akan membina satu jalan baharu sebagai akses untuk memudahkan proses pengeluaran kenderaan-kenderaan yang terdapat di dalam bangunan MACA.

Setakat ini, difahamkan terdapat 50  kenderaan termasuk bas, motor dan kereta masih tidak dapat dikeluarkan daripada kawasan kejadian.

Seterusnya, fasa kedua pemasangan cerucuk besi akan meliputi semua kawasan di dalam bangunan berkenaan.

“Jadi dari aspek pergerakan tanah, ia masih berlaku lagi dan ketika ini ia mula bergerak ke kawasan pagar MACA dan menghampiri kawasan gelanggang tenis” ujar Beh pada sidang media di IPD Sentul, petang tadi.

Tambah Beh, JKR telah meminta kontraktor yang berpengalaman  untuk melakukan pemasangan alat pengesan pengerakan tanah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ia berlaku  semasa kerja-kerja mitigasi dijalankan.

“Jadi kita akan meletakkan alat pengesan di 10 titik kawasan untuk mengesan pergerakan tanah”

“Jika berlakunya pergerakan tanah, alat pengesan tersebut akan memberi isyarat kepada pegawai JKR yang bertugas,” katanya.

Loading...
Terkini