Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing babitkan 5 sektor, sub sektor

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi menyegerakan proses permohonan dan kelulusan penggajian pekerja asing di negara ini membabitkan lima sektor atau sub sektor kritikal.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, sektor atau sub sektor itu adalah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan untuk restoran sahaja.

 

Katanya, majikan bagi kelima-lima sektor atau sub sektor berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta merta.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memproses dan memberikan kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.

Pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MyFutureJobs adalah dikecualikan berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

10 Januari lalu, kerajaan memperkenalkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang mana majikan boleh menggaji tenaga kerja asing daripada 15 negara sumber, tanpa perlu melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Mengulas lanjut, V. Sivakumar berkata, majikan yang telah membuat permohonan penggajian pekerja asing dalam Modul FWe Approval dan Modul eQuota sebelum hari ini (17 Januari) dimohon untuk mengemukakan semula permohonan baharu di dalam Modul FWe Approval.

Menurutnya, tindakan itu bagi membolehkan permohonan majikan dipertimbangkan di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran, KSM di talian 03-8885 2939/2940,” katanya.

Loading...
Terkini