Tumpuan :
Nasional

Pelan intervensi kelapa tua, inisiatif keperluan bekalan Ramadan, Syawal di Terengganu

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengimport sebanyak 650 metrik tan kelapa tua bagi memenuhi keperluan orang ramai pada Ramadan dan Syawal, tahun ini.

Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 30 metrik tan pada Januari dan Februari.

“Pada hari ini, kami menerima bekalan kelapa tua sebanyak 10 metrik tan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 40 metrik tan (35,000 biji), bekalan kelapa tua yang diterima adalah dari Indonesia,” katanya.

Bekalan kelapa tua itu dipusatkan di Pusat Operasi FAMA (Kuala Terengganu dan Besut) dan diedarkan ke outlet-outlet pemasaran FAMA iaitu Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Agrobazaar Rakyat (ABR) di sekitar Terengganu.

FAMA Negeri Terengganu juga menerima tempahan daripada pemborong dan juga peniaga santan bagi pembelian kelapa tua.

“Pada hari ini, kelapa tua dijual dengan harga RM3.00 sekilogram dan harga akan berubah mengikut harga semasa pasaran,” ujarnya.

Kenaikan harga kelapa di pasaran Malaysia meningkat disebabkan oleh kemerosotan pembekalan ekoran perubahan iklim serta peningkatan permintaan yang menyebabkan harga kelapa import turut meningkat khususnya kelapa Indonesia dan berlakunya persaingan permintaan komoditi tersebut di peringkat global.

Dengan adanya inisiatif FAMA melalui pelan intervensi kelapa tua ini, ia diharap dapat memenuhi keperluan orang ramai sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal nanti.

Dijangka, tiada kenaikan harga santan pada Aidilfitri tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini