comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelampau keganasan: Wujud keperluan tambah baik akta keselamatan negara – PM

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Terdapat keperluan untuk menambah baik Akta Keselamatan Negara yang tertumpu kepada langkah-langkah mencegah dan menangani kelompok pelampau keganasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak sama sekali membuka ruang terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa masuk unsur keganasan ke negara ini.

“Sebab itu saya rasa ada keperluan tentang akta keselamatan negara yang menjurus khusus kepada usaha menjamin keselamatan dalam negara daripada unsur-unsur dan pengaruh dari luar.

“Saya serah kepada kebijaksanaan PDRM dan ATM serta badan-badan penguatkuasaan yang lain sekiranya ada elemen lain yang perlu dimasukkan yang belum cukup kuat dalam undang-undang negara dan tentunya akan disergah oleh sebahagian… itu kita akan pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) di sini, hari ini.

Ujar Datuk Seri Anwar lagi, usaha berkenaan memerlukan pencegahan awal dalam memastikan sesetengah fahaman melampau itu mampu dibendung pada peringkat awal sebelum ia mula menjadi sebati.

“Ini harus didedahkan kepada rakyat mengapa perlu ada undang-undang dan bukan menyekat kebebasan. Larangan ke arah keganasan jika kita tunggu sehingga ia meluas akan ambil masa untuk dipulihkan,” katanya lagi.

Pelan MyPCVE dilancarkan selaras dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan agar semua negara anggota mempunyai pelan tersendiri dalam mengekang fahaman pelampau keganasan.

MyPCVE juga tertumpu kepada empat teras utama iaitu Pencegahan, Penguatkuasaan, Pemulihan, serta Pengukuhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini