Tumpuan :
Nasional

Pelaksanaan penilaian PBS selari hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.-FOTO fail NSTP

Oleh: Shuhadah Marzuki

KUALA LUMPUR: Penilaian murid secara berterusan menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak bermakna pengukuran kognitif dalam peperiksaan dimansuhkan.

Jelas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pelaksanaan PBS membolehkan penilaian pembangunan murid yang lebih menyeluruh selari hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kenyataan Fadhlina menjelaskan, PBS memberi penekanan bukan sahaja dalam aspek intelek, tetapi juga kokurikulum, emosi, rohani dan sosial.

PBS turut merangkumi komponen Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

Ia bertujuan mengukur keupayaan kognitif murid tahap dua di sekolah rendah iaitu tahun 4, 5 dan 6 dan pada peringkat menengah rendah iaitu tingkatan 1, 2 dan 3.

Jelasnya, beliau memahami kegusaran ibu bapa mengenai pemansuhan pembelajaran berorientasikan peperiksaan seperti yang dilaporkan media.

Ia susulan isu pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) kembali dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat dan mendapat perhatian ramai.

Walaupun keputusan pemansuhan kedua-dua peperiksaan dilakukan kerajaan sebelum ini, Fadhlina berkata, beliau mengambil tanggungjawab penuh meneliti setiap perkara terkait Dasar Pendidikan Negara.

Setelah UPSR dan PT3 dimansuhkan, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil inisiatif memperkasakan PBS.

Mac lalu KPM mengumumkan Inisiatif Reformasi Pendidikan.

Usaha penambahbaikan turut mengambil kira kegusaran ibu bapa.

Sebagai contoh, antara kebimbangan yang disuarakan mengenai kekeliruan penggunaan skor Tahap Penguasaan (TP) bagi setiap mata pelajaran UASA.

Sehubungan itu, bermula pada sesi akademik tahun ini, laporan pencapaian UASA murid diubah dalam bentuk gred dan peratus bagi memudahkan ibu bapa mengukur prestasi penilaian sumatif anak masing-masing.

Keputusan UASA turut boleh diakses terus oleh ibu bapa secara dalam talian.

Turut diberi perhatian keabsahan dan ketelusan proses penilaian PBS.

Tumpuan kini bagi memastikan penilaian yang adil untuk semua murid, sekaligus dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pelaksanaan PBS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini