Tumpuan :
Nasional

Pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah khalwat selesai

Kakitangan Jabatan Penjara membawa seorang tukang rumah untuk menjalani proses hukuman sebatan syariah di khalayak umum selepas melakukan kesalahan khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang. – FOTO: NSTP

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang lelaki atas kesalahan khalwat berulang selesai dilaksanakan hari ini.

Hukuman itu dilakukan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini.

Terdahulu, tertuduh tiba di Dewan ‘Aasim masjid tersebut jam 2.28 petang tadi dari Penjara Marang.

Dia kemudiannya dibawa ke bilik persediaan selama 20 minit bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa keluar untuk menjalani hukuman itu pada jam 2.50 petang dan berakhir jam 2.52 petang.

Hukuman sebat itu berlangsung di hadapan 90 orang termasuk wakil Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Kerajaan Negeri, Jabatan Penjara, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Ahli Jawatankuasa Masjid AlMuktafi Billah Shah, serta pengamal media.

Turut hadir Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Selesai hukuman, tertuduh kemudiannya dibawa keluar dari dewan itu dan dibawa semula ke Penjara Marang.

Sebelum ini, dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Dia turut menjadi pesalah khalwat pertama yang dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut Enakmen sama pada 19 Februari lalu.

Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini