Tumpuan :
Nasional

Pelaksanaan GST dipertimbang jika pertumbuhan ekonomi kukuh

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya dapat dipertimbangkan setelah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi berada di landasan lebih kukuh.

Penjelasan itu diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapan lisan yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen semalam.

Katanya, pengenalan regim percukaian itu boleh dipertimbangkan setelah ditentukan bagaimana dapat menambahbaik mekanisme GST berbanding sebelum ini, supaya mengurangkan impak kepada golongan berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri kewangan menegaskan buat masa ini, kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula GST kerana ketika ini rakyat sedang dalam fasa pemulihan pasca krisis COVID-19 serta menghadapi cabaran kos sara hidup.

“Inflasi makanan 2022 pada kadar 5.8 peratus dan ini lebih menjejaskan golongan yang berpendapatan rendah.

“Sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan boleh memberi jaminan bahawa GST atau cukai yang mempunyai impak sama seperti cukai itu, tidak akan diperkenalkan semula.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan telah mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang punyai kemampuan.

Katanya, ia tidak semestinya membabitkan GST kerana yakin terdapat juga ruang untuk menambahbaik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.

“Ini termasuk pertamanya meningkatkan cukai pendapatan bagi individu bagi mereka dengan pendapatan bercukai melebihi RM230,000 setahun.

“Kedua, pengumuman cadangan Cukai Barangan Mewah dan Cukai Keuntungan Modal ke atas jualan saham tidak tersenarai.

“Kerajaan akan terus mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi mengkaji aspek pembaharuan sistem percukaian,” katanya.

Loading...
Terkini