comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelaksanaan cukai jalan, LMM digital kekal

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Majlis Perasmian ‘Asean Ports and Logistics 2024’ di Johor Bahru hari ini. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan cukai jalan kenderaan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital akan dikekalkan seperti yang sudah dilaksanakan sejak Februari tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata inisiatif pendigitalan cukai jalan dan LMM akan terus dikekalkan sejajar dengan dasar digitalisasi negara.

“Kementerian tidak akan kaji semula pelaksanaan cukai jalan dan LMM secara digital walaupun terdapat permintaan beberapa pihak terutama pengguna.

“Kita kena progresif kerana ketika ini sudah banyak perkhidmatan dinaik taraf kepada digital termasuk cukai jalan dan lesen memandu.

“Namun, (pengguna) masih boleh cetak cukai jalan digital ini jika terdapat keperluan termasuk mematuhi peraturan negara jiran, tiada masalah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN, di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak terutama pengguna meminta supaya kerajaan mengembalikan pelaksanaan cukai jalan dan lesen memandu fizikal berikutan ia menjadi keperluan memasuki negara jiran termasuk Thailand.

Pada Ogos lalu, dua lelaki warga Malaysia dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pengguna hanya perlu mencetak cukai jalan dan lesen memandu digital jika mereka memasuki negara jiran.

“Sekiranya hendak ke luar negara boleh cetak saja cukai jalan atau lesen memandu. Tidak menjadi masalah dan tidak perlu dikaji balik.

“Pendigitalan ini akan terus dikekalkan tetapi tidak bermaksud cukai jalan dan lesen memandu digital tidak boleh dicetak kerana ia boleh dicetak sendiri.

“Jika hendak masuk negara jiran termasuk Thailand yang tetapkan syarat perlu cukai jalan atau lesen memandu fizikal, cetak sajalah, tak susah pun,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini