Oleh Zainur Khairul Zainurin
PETALING JAYA: Pelaksanaan cukai cecair vape pada awal bulan ini menimbulkan reaksi pelbagai dari orang awam berhubung perkara tersebut.
Tinjauan Buletin TV3 hari ini mendapati segelintir orang awam bersetuju dengan pengenalan cukai jualan cecair vape ini memandangkan ia dapat membantu mengurangkan pembelian vape.
“Usaha ini dapat mengurangkan orang membeli vape dan dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan orang ramai.” kata Sofea Adlina ketika ditanyakan tentang isu berkenaan.
Jelas Sofea lagi, memandangkan isu pembeli cecair vape dalam kalangan bawah umur semakin serius, tindakan untuk mengenakan cukai sedikit sebanyak dapat mengurangkan isu tersebut.
Namun, kenaikan harga cecair vape juga akan menggalakkan orang ramai kembali membeli rokok kata Aiman Syakir yang turut mengulas isu ini.
“Selepas dicukai harga vape ini akan menjadi mahal dan membuatkan ramai pengguna vape diluar sana berpindah semula ke rokok sebab lagi murah,” katanya.
Tinjauan di media sosial juga meraih pelbagai reaksi netizen, antara yang meninggalkan komen di Facebook Buletin TV3 mengenai isu ini adalah seperti Wan Mahmud.
“Haramkan rokok dan haramkan vape! Peningkatan harga dan cukai adalah terbaik untuk hapuskan mudarat ini. Juga tingkatkan kawalan dan hukuman penyeludupan,” luahnya.
Pelaksanaan cukai jualan cecair vape telah diumumkan kerajaan menerusi satu notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat lalu.
Bermula pada 1 April tahun ini, kerajaan mengenakan cukai penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap ml.
Kerajaan turut mewartakan tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok, serta cecair vape, dikecualikan daripada Akta Racun 1952.