KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barangan Mewah disifatkan sebagai inisiatif bagus oleh kerajaan kerana mampu membantu meningkatkan hasil dalam negara tanpa memberi kesan terhadap golongan sasar.
Penganalisis ekonomi berpandangan, ia boleh dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial dengan mengagihkan kekayaan golongan mewah berkenaan kepada mereka yang memerlukan.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid, berkata cukai itu tidak memberi kesan menjejaskan berbanding jika cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan semula.
“Sekiranya kerajaan melaksanakan semula GST, golongan B40 akan terkesan. Oleh itu, kerajaan menyasarkan golongan kaya. Justeru, kita tidak perlu risau mengenainya. Ia adalah inisiatif yang sangat baik dan kerajaan sudah memikirkan mengenai masa depan rakyat marhaen.
“Kalau betul kerajaan memerlukan duit, dia (kerajaan) akan melaksanakan kembali GST dan segala cukai yang ada. Namun, kerajaan tidak mahu laksanakan, sebaliknya fikir siapa yang mampu bayar dan mereka adalah golongan kaya.
“Malah, Perdana Menteri juga ada memberi statistik yang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikuasai golongan kaya. Jadi, apa salahnya kita agihkan semula kepada mereka yang memerlukan. Ia juga seperti rakyat yang berkemampuan sama-sama menggalas tanggungjawab membangunkan Malaysia MADANI,” katanya kepada BH, hari ini.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023, Jumaat lalu, mengumumkan pelaksanaan Cukai Barangan Mewah bermula tahun ini, dengan nilai had tertentu mengikut jenis barangan.
Perdana Menteri berkata, antara barangan yang akan dikenakan cukai berkenaan ialah jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
Ditanya mengenai pelaksanaan cukai itu di luar negara pula, Baharom memaklumkan di Amerika Syarikat (AS), ia dikenakan pada kadar tetap, iaitu sebanyak 10 peratus membabitkan produk baharu dan bukannya barangan terpakai.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata pada awal pelaksanaan cukai berkenaan di United Kingdom (UK), kerajaan itu pernah mengenakan cukai hingga 33.3 peratus tetapi ia dihapuskan selepas adanya cukai nilai tambah (VAT) pada 1973.
“Kanada juga mengenakan cukai ke atas barangan mewah dan ia dikira sebagai kurang 10 peratus daripada jumlah harga belian atau sebanyak 20 peratus daripada jumlah yang melebihi ambang harga. Cukai mewah akan ditambahkan pada harga barangan sebelum cukai jualan harmoni (HST) atau GST dikenakan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan cukai berkenaan di Malaysia, Aimi Zulhazmi berkata, ia adalah satu inisiatif yang baik kerana menyediakan kutipan cukai lebih saksama.
Namun, beliau berkata, kerajaan juga perlu mengkaji dengan lebih teliti sama ada akan terdapat kesan negatif seperti menjejaskan pelancong untuk berbelanja di negara ini, terutama ketika mahu menjadikan 2025 sebagai Tahun Melawat Malaysia.
“Kesan kedua, negara mungkin akan menyaksikan peningkatan dalam pengeluaran barangan palsu membanjiri pasaran akibat harga yang dikenakan terlalu mahal.
“Namun, mengenakan cukai ke atas barangan mewah adalah satu langkah baik dan sudah tentu meletakkan barangan berkenaan di kedudukan lebih tinggi dan hanya mereka yang mampu dapat memilikinya,” katanya.