KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Roslan Saleh, 68, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Masjid Tanah, Melaka kira-kira jam 7 pagi tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Isterinya, Zainun Majid berkata, arwah meninggal dunia dalam tidur.
“Arwah ada pelbagai penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah rendah sejak lima tahun lalu. Arwah sering keluar masuk hospital disebabkan penyakit itu, meninggal dunia dalam tidur.
“Beliau meninggal dalam tidur dan Alhamdulillah, pergi pada Jumaat yang mulia ini,” katanya kepada BH Online.
Zainun berkata, jenazah arwah akan disolatkan di Masjid Ar Rahman Kampung Rantau Panjang dan disemadikan selepas solat Jumaat.
“Jenazah akan dibawa ke masjid untuk disolatkan pada jam 12 tengah hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang selepas solat Jumaat,” ujarnya.
Allahyarham Roslan meninggalkan seorang balu, tiga cahaya mata dan 10 cucu.
Sebelum ini, media melaporkan kesihatan Roslan yang mesra disapa sebagai Pak Lan merosot akibat penyakit diabetes kronik, kira-kira lima tahun lalu.
Sepanjang lebih tiga dekad berada dalam dunia seni, Roslan pernah membintangi banyak drama dan filem popular. Antaranya, Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2 dan Anak Perjanjian Syaitan, manakala Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda adalah filem terakhir lakonannya.
Roslan berkata, dia tidak lagi aktif dalam dunia lakonan selepas mengalami masalah kencing manis kronik dan terlantar di rumah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.